'Impian Kami' merupakan salah satu cerpen
yang terdapat dalam himpunan cerpen yang dikarang oleh Dr Halis Azhan di mana
tajuknya diangkat sebagai muka depan himpunan cerpen ini. Koleksi cerpen ini menceritakan
pelbagai kisah yang merangkumi kehidupan kanak-kanak. Sebanyak 12 cerpen
disajikan dan kesemuanya mempunyai tema dan kisah yang menarik. Antara tajuk yang
terdapat di dalamnya ialah Anak Jutawan Segera, Seperti Mengejar Pelangi, Dunia
Adik, Fazril, Kepulangan, Protes, Nudin, Saingan, Bersatu Semula, Sayang Si
Ika, Impian Kami dan Insaf.Cerpen yang dikarang mempunyai pengajaran yang dapat
memberi kesedaran kepada pembacanya. Nilai murni yang terdapat seperti
kegigihan, kasih sayang, setia kawan, dan persaingan yang sihat antara yang
disajikan dalam koleksi cerpen ini.
Cerpen bertajuk Impian Kami menceritakan
impian Sayani untuk memiliki kereta impiannya. Impiannya tersimpan setelah rasa
cemburu datang melihatkan kawannya yang menunjuk-nunjuk kereta baru di halaman
rumah. Kemiskinan hidup yang dilalui merupakan salah satu halangan Sayani untuk
memiliki kereta impiannya. Namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa
yang tahu. Sayani berjaya mendapatkan kereta impiannya namun ianya tidak kekal
lama kerana keperluan yang lebih utama menuntut kepada kehilangan kereta
impiannya. Kisah ini memaparkan kesungguhan Sayani dan adik beradiknya yang
lain dalam usaha mendapatkan kereta impian Sayani. Kisah ini juga memberi kesedaran
bahawa sesuatu yang dinginkan tidak semestinya menjadi keperluan yang sangat penting. Manakala 'Anak Jutawan Segera' pula
mengisahkan tentang seorang anak peneroka Felda yang cemburu akan kawan yang
lain tatkala mereka dapat apa yang dimahukan tetapi sebaliknya tidak bagi Sani.
Sikap ayahnya yang sangat berjimat mengundang beribu persoalan kepada Sani.
Selain itu, cerpen yang berjaya mengundang
kesedihan dan sebak pada saya ialah cerpen yang bertajuk Dunia Adik dan cerpen
bertajuk Fazril. Cerpen 'Dunia Adik' mengisahkan adik Zamri yang melalui
kehidupannya seharian tanpa penglihatan sejak lahir. Namun adik seorang yang bijak,cerdas
dan petah berkata-kata. Kisah ini juga memperlihatkan kasih sayang dan pengorbanan
seorang abang kepada adiknya. Zamri sentiasa melayan kehendak adik dan tidak
sanggup melukakan hatinya walaupun terpaksa berkorban masanya sendiri. Manakala
cerpen Fazril pula mengisahkan seorang pelajar yang bisu dan pekak. Namun
kekurangan yang dimiliki tidak menjadi penghalang baginya apabila berjaya memenangi
pertandingan reka cipta. Kisah ini juga memperlihatkan hubungan persahabatan
yang ikhlas tanpa memandang kekurangan insan. Kisah- kisah ini membuktikan
bahawa insan yang kekurangan itu bukanlah lemah tetapi mempunyai keupayaan istimewa
yang lain. Pada pendapat saya, menerusi susunan cerita yang diolah oleh penulis,
Dr Halis berjaya menyedarkan saya dan juga pembaca lain dalam mensyukuri nikmat
penglihatan, pendengaran dan nikmat suara yang diberikan oleh Allah Yang Maha
Pencipta.
Sudah tentu setiap cerpen yang dikarang
mempunyai pengajarannya yang tersendiri dan penulis dapat menyampaikan mesejnya
dengan baik sekali. Penulis juga menghidangkan kisah yang sangat dekat dengan sikap
setiap lapisan masyarakat. Walau himpunan cerpen ini berbentuk cerpen kanak-kanak
namun penulis berjaya menelusuri kehidupan kanak-kanak dan merasai alam mereka
sendiri supaya cerita yang digalurkan sesuai bagi aras pemikiran peringkat kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment