Cerpen paya purnama yang telah saya
baca menghidangkan kisah-kisah dari lubang ingatan penulis. Penulis cerpen ini
iaitu S.M. Zakir menggarap cerita berdasarkan ingatan dan memorinya sewaktu
kecil dahulu walaupun penuh dengan kesamaran. Beliau mengimbas kembali memori
zaman kanak-kanak di kediamannya di kuarters guru di Sekolah Merbau, Kelantan.
Menurutnya, kejadian zaman kecil samar-samar dalam ingatan. Penulis juga cuba
meluahkan rasa rindu akan kenangan-kenangan indah dunia kanak-kanak beliau. Menurut
penulis, cerpen ini ditulis sebagai sebuah catatan dari lubang ingatan beliau
ketika waktu kecil dahulu namun beliau tidak pasti adakah pengalaman itu
betul-betul terjadi pada dirinya atau hanya sebuah khayalan semata-mata. Paya
Purnama merupakan kisah yang diadaptasi penulis berdasarkan memorinya sewaktu
kecil. Cerita yang sebenar dialami penulis mungkin dalam gambaran dan kronologi
yang berlainan, namun beliau berjaya menggarap sebuah penghasilan cerpen
berdasarkan idea-ideanya di masa lalu dan terhasillah cerpen bertajuk ‘Paya
Purnama’.
Tiga orang sahabat bertemu semasa
berjalan kaki untuk balik ke rumah masing-masing. Laluan yang sama di paya
inilah mempertemukan mereka bertiga. Penulis dan dua kawannya seronok sekali
bermain dan lokasi yang sering menjadi saksi bagi mereka bermain adalah di paya
kampung mereka. Nik Aiman seorang pembersih dan seorang anak yang baik-baik,
manakala Soh Chan Heng seorang yang lasak. Penulis pula seorang yang nakal.
Mereka selalu membuli Hakim namun Hakim tidak marah sebaliknya terhibur dan
seronok melayan gurauan dan keletah kawannya itu. Walaupun mereka bersahabat
baik, namun adakalanya terselit sedikit pertelingkahan tetapi tidak kekal lama.
Hubungan mereka pantas bertaut kembali.
Paya Purnama merupakan sebuah cerpen
yang tentang alam persekolahan penulis di Darjah Satu di Sekolah Tengku Indera
Putera, bersama Nik Danial Hakim dan Soh Chan Heng. Kedua-dua orang kawan ini
terputus hubungan setelah penulis meninggalkan tanah Kelantan ketika penghujung
Darjah Tiga dan tidak kembali untuk menetap di situ. Penulis membesar di Pulau
Pinang dan berhijrah ke Selangor bersama ahli keluarganya. Penulis tidak
mendengar khabar lagi tentang dua orang rakan ini.
Menurut penulis, dunia paya, Soh
Chan Heng dan Hakim mungkin adalah realiti yang tercipta daripada ilusi, atau
ilusi yang tercipta daripada realiti. Tetapi yang menjadi ilham kepada
pembikinan cerpen ini adalah kerana memori penulis yang agak samar semasa zaman
kanak-kanak dahulu. Memori tentang persahabatan yang terjalin dan terselit
seribu kenangan. Penulis cuba untuk menceritakan kisah persahabatan yang
terjalin sebelum beliau berhijrah jauh dari tempat lahirnya itu. Mungkin juga
beribu persoalan yang terpacul dalam ingatan serta menggambarkan kenangan indah
membuatkan penulis cuba untuk meluahkan ceritanya dalam sebuah cerpen.