Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan
pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran,
perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani
aktiviti seharian dengan baik. Menurut Portal Myhealth, kajian pemantauan
penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1%
daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental. Laporan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menjangkakan pada tahun 2020 penyakit
ini akan menjadi kedua tertinggi di dunia. Mutakhir ini, lambakan kes penyakit
mental terpapar di berita mahupun surat khabar harian. Antaranya kes membunuh
kerana penyakit meroyan, kes orang hilang disebabkan kemurungan, kes pembunuhan
kerana tekanan melampau dan banyak lagi. Sedar tidak sedar semakin maju negara,
mungkin juga akan semakin bertambahnya tekanan perasaan masyarakat.
Menurut Portal Myhealth, penyebabnya tidak diketahui dengan
tepat. Kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit ini.
Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental. Antaranya
ialah faktor genetik atau keturunan, gangguan bahan kimia dalam otak, jangkitan
virus, mempunyai sejarah hidup yang getir dan mungkin disebabkan keadaan
sosio-ekonomi yang rendah.
Namun ramai masyarakat di luar sana seakan tidak memahami
dan mengerti penyakit ini kerana ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar
dan hanya yang mengalaminya sahaja yang merasai kesakitannya. Pernah juga saya
terdengar bahawa di luar sana menganggap bahawa penyakit mental ini adalah gila
semata-mata. Bukan sebenarnya, penyakit kemurungan, kerisauan melampau, ketakutan
melampau, dan apa-apa pemikiran yang mengganggu kehidupan normal seseorang itu
sebenarnya salah satu penyakit mental. Penyakit yang tidak dapat disaksikan
luaran. Malah golongan penyakit mental ini adakalanya pandai menyembunyikan
penyakit yang dialaminya. Di luar, nampak kuat dan ceria selalu, namun dalam
hati serta minda terbeban segala gundah gulana, menanggung segala keperitan
sebatang kera tanpa pertolongan sesiapa. Mereka yang normal sepatutnya memahami
dan tidak memandang remeh akan penyakit mental yang dialami oleh ahli keluarga atau
rakan-rakan. Pelbagai stigma masyarakat dapat dikenalpasti apabila mendengar
masalah penyakit mental ini. Antaranya ialah mereka menganggap bahawa golongan
yang tidak bernasib baik ini hanyalah mengada-ngada dan mahukan perhatian.
Mereka juga menganggap bahawa pesakit ini kurang mendekati Allah lalu
menyebabkan mereka menjadi sebegitu. Lebih memeritkan ada yang mengatakan
penyakit mental ini merupakan masalah kecil berbanding masalah mereka yang lebih
sihat. Salah, ianya salah sama sekali, malah andaian mereka ini menjatuhkan
moral dan menyebabkan semangat pesakit mental untuk pulih mulai pudar.
Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Tidak terkecuali
dengan penyakit mental walaupun ianya merupakan penyakit dalaman. Selain ubat, pendekatan
sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok,
terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan
pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya. Peranan ahli keluarga
dan rakan-rakan juga penting dalam menjadi luahan masalah bagi pesakit mental.
Mereka penting untuk meningkatkan motivasi ataupun berkongsi cara yang terbaik
bagi membolehkan pesakit mental menjalani kehidupan normal kembali dengan ceria
tanpa masalah yang membelenggu fikiran mereka lagi.
No comments:
Post a Comment