Friday, 17 May 2019

Ulasan Cerpen 1- Paya Purnama


Cerpen paya purnama yang telah saya baca menghidangkan kisah-kisah dari lubang ingatan penulis. Penulis cerpen ini iaitu S.M. Zakir menggarap cerita berdasarkan ingatan dan memorinya sewaktu kecil dahulu walaupun penuh dengan kesamaran. Beliau mengimbas kembali memori zaman kanak-kanak di kediamannya di kuarters guru di Sekolah Merbau, Kelantan. Menurutnya, kejadian zaman kecil samar-samar dalam ingatan. Penulis juga cuba meluahkan rasa rindu akan kenangan-kenangan indah dunia kanak-kanak beliau. Menurut penulis, cerpen ini ditulis sebagai sebuah catatan dari lubang ingatan beliau ketika waktu kecil dahulu namun beliau tidak pasti adakah pengalaman itu betul-betul terjadi pada dirinya atau hanya sebuah khayalan semata-mata. Paya Purnama merupakan kisah yang diadaptasi penulis berdasarkan memorinya sewaktu kecil. Cerita yang sebenar dialami penulis mungkin dalam gambaran dan kronologi yang berlainan, namun beliau berjaya menggarap sebuah penghasilan cerpen berdasarkan idea-ideanya di masa lalu dan terhasillah cerpen bertajuk ‘Paya Purnama’.

Tiga orang sahabat bertemu semasa berjalan kaki untuk balik ke rumah masing-masing. Laluan yang sama di paya inilah mempertemukan mereka bertiga. Penulis dan dua kawannya seronok sekali bermain dan lokasi yang sering menjadi saksi bagi mereka bermain adalah di paya kampung mereka. Nik Aiman seorang pembersih dan seorang anak yang baik-baik, manakala Soh Chan Heng seorang yang lasak. Penulis pula seorang yang nakal. Mereka selalu membuli Hakim namun Hakim tidak marah sebaliknya terhibur dan seronok melayan gurauan dan keletah kawannya itu. Walaupun mereka bersahabat baik, namun adakalanya terselit sedikit pertelingkahan tetapi tidak kekal lama. Hubungan mereka pantas bertaut kembali.

Paya Purnama merupakan sebuah cerpen yang tentang alam persekolahan penulis di Darjah Satu di Sekolah Tengku Indera Putera, bersama Nik Danial Hakim dan Soh Chan Heng. Kedua-dua orang kawan ini terputus hubungan setelah penulis meninggalkan tanah Kelantan ketika penghujung Darjah Tiga dan tidak kembali untuk menetap di situ. Penulis membesar di Pulau Pinang dan berhijrah ke Selangor bersama ahli keluarganya. Penulis tidak mendengar khabar lagi tentang dua orang rakan ini.

Menurut penulis, dunia paya, Soh Chan Heng dan Hakim mungkin adalah realiti yang tercipta daripada ilusi, atau ilusi yang tercipta daripada realiti. Tetapi yang menjadi ilham kepada pembikinan cerpen ini adalah kerana memori penulis yang agak samar semasa zaman kanak-kanak dahulu. Memori tentang persahabatan yang terjalin dan terselit seribu kenangan. Penulis cuba untuk menceritakan kisah persahabatan yang terjalin sebelum beliau berhijrah jauh dari tempat lahirnya itu. Mungkin juga beribu persoalan yang terpacul dalam ingatan serta menggambarkan kenangan indah membuatkan penulis cuba untuk meluahkan ceritanya dalam sebuah cerpen.

Tuesday, 14 May 2019

Ramadan

Bulan Ramadan bulan yang berkat
Bulan rahmat bulan utama
Pahala digandakan doa diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa

Tersenyum sebaik mendengar bait-bait nasyid yang menyambut kedatangan Ramadan. Hari ini merupakan hari kelapan puasa bulan Ramadan bagi seluruh umat Islam. Seronok sekali menggambarkan suasananya. Bulan ibadah, terisi dengan puasa, solat tarawih, tadarus Al-Quran, sedekah, dan amalan amalan sunah lain yang pastinya dijanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Tatkala itu, aku teringat suasana puasa di kampung.

Walaupun kaki ini sudah dua tahun menjejak kaki di menara gading                                           
Walaupun kaki ini bermusafir jauh dari tempat kelahiran                                                               
Walaupun kaki ini mengorak langkah di perantauan
Namun tetap di bumi Kelantan, suasana Ramadannya menjadi igauan
Menjadi kenangan dan rinduan 
Meniti setiap detik Ramadan bersama kakak, adik dan abang di kampung halaman

Memang tidak dapat dilupakan memori kenangan semasa masih kecil dahulu sebelum mereka membawa haluan masing-masing. Tidak pelik, sewaktu zaman kecil, ku anggap bulan Ramadan hanya menantikan hidangan menyelerakan, permainan bunga api yang menghiburkan, sama-sama menunaikan solat sunat tarawih lalu seronok berkejaran. Sungguh indah jika diimbas kembali, kenangan yang menggembirakan hati waktu kecil dahulu, waktu yang belum terselit dan terfikir sebarang masalah sehari-sehari. Namun waktu berlalu begitu pantas sekali, dan hanya menikmati sepi angin disapa memori dahulu yang hanya menggamit rindu. Setiap kali bulan Ramadan datang menjengah, kenangan tersebut pasti berulang kembali.

 Namun setelah melalui arus kematangan, diakui kedatangan Ramadan bukanlah hanya keseronokan semata-mata. Ku sedar bulan ini ada banyak keistimewaannya yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

 Bulan Ramadan ialah bulan yang diturunkan Al-Quran, juga bulan di mana syaitan dibelenggu serta tidak dibiarkan lepas seperti bulan yang lain. Para malaikat beristighfar untuk mereka yang berpuasa sehingga berbuka. Malah, bau mulut mereka yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah. Pada 10 hari terakhir Ramadan juga ada satu malam dianugerahkan Allah kepada mukmin dan ditunggu-tunggu oleh hambanya kerana di dalamnya, pahala ibadah bersamaan 1000 tahun. Malam yang penuh keberkatan dan rahmatNya. Ianya malam Lailatul Qadar.

Walaupun bergelar mahasiswa, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadat-ibadat sunat seperti tarawih. Sedar bahawa tuntutan menyiapkan tugasan di saat-saat akhir itu penting namun jangan dilupakan bahawa Ramadan hanya singgah sekali dalam setahun. Mereka mengambil mudah, mengapa tidak memanfaatkan bulan barakah ini. Yang pastinya, di bulan Ramadan, rahmat Allah itu terbuka luas, barakah bulan Ramadan sepatutnya direbut-rebut bagi mereka yang sedar kasih sayang Ilahi.  Berebut untuk menggandakan amal ibadah, berebut untuk mendapat keredaan Allah dan bersungguh meminta keampunan atas dosa-dosa lalu dan kini. Sungguh di bulan Ramadan, amatlah rugi jika kita mensia-siakan setiap detik darinya.

Tuesday, 30 April 2019

Dunia Buku I -Ulu Yam di Liverpool

'Ulu Yam di Liverpool'. Novel ini merupakan novel travelog pertama yang dibaca oleh saya. Sudah lama novel ini dibaca iaitu ketika saya masih berada di alam sekolah menengah. Tajuknya yang menarik membuatkan saya teruja untuk menelusuri setiap perjalanan cerita dikarang oleh penulis, Nazali Noor. 
     
Novel ini mengisahkan bagaimana penulis menjadi insan biasa kepada luar biasa. Dari seorang anak jati Ulu Yam, Selangor ke negara Liverpool di United Kingdom. Impian yang disimpan ketika di bangku sekolah walaupun diejek akhirnya berjaya dibuktikan apabila beliau berjaya menjadi graduan di United Kingdom. Malah beliau juga menjadi pensyarah di bumi Liverpool, bumi Uncle Sam. Sebelum mengecapi kejayaan itu, pelbagai onak duri diharungi tapi beliau percaya bahawa usaha itu tangga kejayaan. 
Cerita yang disajikan dapat memotivasikan pembaca dalam mengejar impian walaupun impian itu besar, ianya tidak mustahil jika mempunyai keazaman yang teguh. Kasih sayang keluarga yang dikecapi oleh penulis menjadi salah satu faktor akan kejayaannya. Selain daripada itu, janganlah dilupakan bahawa setiap kejayaan itu semestinya kerana ibu bapa kita. Merekalah insan yang paling kuat di belakang, yang memberi semangat setiap kali perjalanan impian itu tersekat. Beliau mengutamakan ibu tercinta terlebih dahulu walaupun berdepan pelbagai kesukaran. 
Bumi Liverpool juga sangat indah dan penulis menjelaskannya dengan baik dalam novel ini sehingga membuatkan pembaca seolah-olah berada di bumi itu sendiri. Bukan mudah untuk tinggal di negara asing pada mulanya, namun berkat dari kesabaran penulis dia berjaya mengatasi segala halangan dan mula bertatih dari bawah sehingga beliau dapat apa yang dihajatinya selama ini, sebagai anak Melayu yang berjaya di negara asing. Beliau telah membuktikannya. Kejayaan itu akhirnya tercapai setelah pengorbanan dan keperitan yang dilalui. Novel ini mengajar banyak benda kepada saya serta menyedarkan pembaca yang lain bahawa usaha itu tangga kejayaan. Kejayaan tidak akan dicapai jika tidak berusaha dengan gigih, dan usaha itu dari kita sendiri, kita yang menentukan perjalanan kita. Dalam ayat suci Al-Quran juga ada menyebut 'bahawa Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan suatu kaum itu mengubah apa-apa pada diri mereka. Wallahua'lam.

Monday, 29 April 2019

Dunia Buku II - Impian Kami

'Impian Kami' merupakan salah satu cerpen yang terdapat dalam himpunan cerpen yang dikarang oleh Dr Halis Azhan di mana tajuknya diangkat sebagai muka depan himpunan cerpen ini. Koleksi cerpen ini menceritakan pelbagai kisah yang merangkumi kehidupan kanak-kanak. Sebanyak 12 cerpen disajikan dan kesemuanya mempunyai tema dan kisah yang menarik. Antara tajuk yang terdapat di dalamnya ialah Anak Jutawan Segera, Seperti Mengejar Pelangi, Dunia Adik, Fazril, Kepulangan, Protes, Nudin, Saingan, Bersatu Semula, Sayang Si Ika, Impian Kami dan Insaf.Cerpen yang dikarang mempunyai pengajaran yang dapat memberi kesedaran kepada pembacanya. Nilai murni yang terdapat seperti kegigihan, kasih sayang, setia kawan, dan persaingan yang sihat antara yang disajikan dalam koleksi cerpen ini.

Cerpen bertajuk Impian Kami menceritakan impian Sayani untuk memiliki kereta impiannya. Impiannya tersimpan setelah rasa cemburu datang melihatkan kawannya yang menunjuk-nunjuk kereta baru di halaman rumah. Kemiskinan hidup yang dilalui merupakan salah satu halangan Sayani untuk memiliki kereta impiannya. Namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Sayani berjaya mendapatkan kereta impiannya namun ianya tidak kekal lama kerana keperluan yang lebih utama menuntut kepada kehilangan kereta impiannya. Kisah ini memaparkan kesungguhan Sayani dan adik beradiknya yang lain dalam usaha mendapatkan kereta impian Sayani. Kisah ini juga memberi kesedaran bahawa sesuatu yang dinginkan tidak semestinya menjadi keperluan yang sangat penting. Manakala 'Anak Jutawan Segera' pula mengisahkan tentang seorang anak peneroka Felda yang cemburu akan kawan yang lain tatkala mereka dapat apa yang dimahukan tetapi sebaliknya tidak bagi Sani. Sikap ayahnya yang sangat berjimat mengundang beribu persoalan kepada Sani.

Selain itu, cerpen yang berjaya mengundang kesedihan dan sebak pada saya ialah cerpen yang bertajuk Dunia Adik dan cerpen bertajuk Fazril. Cerpen 'Dunia Adik' mengisahkan adik Zamri yang melalui kehidupannya seharian tanpa penglihatan sejak lahir. Namun adik seorang yang bijak,cerdas dan petah berkata-kata. Kisah ini juga memperlihatkan kasih sayang dan pengorbanan seorang abang kepada adiknya. Zamri sentiasa melayan kehendak adik dan tidak sanggup melukakan hatinya walaupun terpaksa berkorban masanya sendiri. Manakala cerpen Fazril pula mengisahkan seorang pelajar yang bisu dan pekak. Namun kekurangan yang dimiliki tidak menjadi penghalang baginya apabila berjaya memenangi pertandingan reka cipta. Kisah ini juga memperlihatkan hubungan persahabatan yang ikhlas tanpa memandang kekurangan insan. Kisah- kisah ini membuktikan bahawa insan yang kekurangan itu bukanlah lemah tetapi mempunyai keupayaan istimewa yang lain. Pada pendapat saya, menerusi susunan cerita yang diolah oleh penulis, Dr Halis berjaya menyedarkan saya dan juga pembaca lain dalam mensyukuri nikmat penglihatan, pendengaran dan nikmat suara yang diberikan oleh Allah Yang Maha Pencipta.

Sudah tentu setiap cerpen yang dikarang mempunyai pengajarannya yang tersendiri dan penulis dapat menyampaikan mesejnya dengan baik sekali. Penulis juga menghidangkan kisah yang sangat dekat dengan sikap setiap lapisan masyarakat. Walau himpunan cerpen ini berbentuk cerpen kanak-kanak namun penulis berjaya menelusuri kehidupan kanak-kanak dan merasai alam mereka sendiri supaya cerita yang digalurkan sesuai bagi aras pemikiran peringkat kanak-kanak.

Wednesday, 24 April 2019

Pengalaman Kembara-Tempat Menarik Yang Pernah Dikunjungi

Sejujurnya saya jarang mengembara jauh seperti kebanyakan orang lain.  Di negeri sendiri masih banyak tempat-tempat menarik yang tidak sempat dikunjungi. Antara tempat menarik yang sempat saya kunjungi adalah Kawasan zon bebas cukai Rantau Panjang, Dataran Baru Bukit Bunga, Masjid Kampung Laut, Pasar Besar Siti Aishah Jelawat, Pasar Besar Tanah Merah, Pantai Tok Bali dan Pantai Irama.

1. Zon bebas cukai Rantau Panjang dan Dataran Baru Bukit Bunga


Zon bebas cukai Rantau Panjang ialah pusat membeli belah yang agak terkenal di Kelantan dan biasanya tempat ini juga menjadi sesak apabila musim cuti sekolah dan cuti-cuti perayaan. Zon bebas cukai bermaksud segala barangan dan makanan yang dijual kebanyakannya murah kerana diimport khas daripada negara sebelah, Thailand yang berdekatan dengan bandar rantau Panjang, maka tidak pelik ramai yang berkunjung ke sini untuk membeli pelbagai kelengkapan dan barangan secara borong dengan harga yang murah.

Tidak kurang juga dengan dataran baru bukit bunga. Ianya juga digelar Kawasan bebas cukai. Bukit Bunga terletak di antara daerah Tanah Merah dan juga Pasir Mas. Sama konsepnya, barangan yang dijual pelbagai dengan harga yang murah-murah. Barangan dan makanan dijual di tepi-tepi jalan secara berderet membuatkan para pengunjung sempat singgah melihat apa yang menarik dijual.




2. Masjid Kampung Laut

Pernah dengar binaan tanpa menggunakan sebarang paku? Pelik bukan? Kebanayakan kita dengari hampir semua binaan menggunakan paku untuk menyatukannya. Namun tidak bagi binaan Masjid Kampung Laut. Masjid Kampung Laut telah diiktiraf oleh Jabatan Arkib Negara sebagai masjid tertua di Asia Tenggara. Menarik bukan sejarah kita. Masjid Kampung Laut terletak di Nilam Puri, Kota Bharu Kelantan. Pada asalnya, tapak asal masjid ini adalah di Kampung Laut. Namun ia dipindahkan dari tempat asalnya kerana berlakunya banjir besar di Kelantan pada tahun 1966. Masjid ini  mempunyai reka bentuk yang unik. Ianya dapat dilihat pada bumbungnya malah binaannya yang asal dahulu tidak menggunakan sebarang paku. Sejuk sahaja apabila saya solat di dalamnya. 







3. Pasar Besar Siti Aishah Jelawat dan Pasar Besar Tanah Merah

Pasar Besar Siti Aishah Jelawat pula berada di pusat bandar Jelawat, Kelantan. Sama konsepnya dengan pasar-pasar lain. Pasar Besar Tanah Merah pula merupakan pasar yang sering saya singgah apabila balik ke kampung halaman di daerah Tanah Merah. Sama juga setiap pasar menyajikan segala bentuk makanan dan barangan dengan harga yang murah. Kuih-kuih yang kebiasaanya hanya terdapat di Kelantan dapat dilihat berderet disusun oleh penjual, bahkan segala kerepek ada dijual. Barangan basah seperti ayam, ikan daging, udang, sotong juga tidak ketinggalan. Pelbagai sayuran, ulam-ulaman segar malah buah-buah tempatan berlambak di jual di pasar. Tidak kurang juga kelengkapan memasak seperti kuali, periuk, senduk boleh didapatkan di pasar. Rempah-rempah ratus dan barangan memasak juga banyak jenisnya. Pening mak saya untuk memilihnya. 






4. Pantai Tok Bali dan Pantai Irama

Pantai Tok Bali dan Pantai Irama pula antara pulau yang terdapat di Kelantan. Banyak lagi pulau-pulau yang menghiasi negeri Kelantan namun hanya dua pulau ini sahaja yang sempat saya kunjungi.  Pantai Irama terkenal sebagai pusat pelancongan pantai yang utama dan terkenal bukan sahaja di daerah Bachok, malah di negeri Kelantan dan Malaysia. Pantainya yang berpasir dan landai sesuai untuk aktiviti berkelah, riadah , mandi laut, sukan air dan memancing. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada pengunjung di Pantai Irama adalah seperti gerai makanan - ikan/udang/sotong celup tepung, keropok lekor, ABC, Air Kelapa Muda. Taman permainan kanak-kanak, tandas awam. Kemudahan pengangkutan awam, surau. Antara kemudahan di tepi Pantai Irama yang disediakan kepada pengunjung adalah seperti Banana Boat, ATV dan juga kereta kuda. Memandangkan kampung ayah di Bachok, kami sekeluarga selalu singgah di sini sambil merehatkan badan serta minda yang penat.


Banyak lagi tempat-tempat menarik yang ingin saya pergi namun apakan daya masa selalu mencemburui. Buat masa ini, inshaa Allah saya dan sekeluarga akan singgah di Jambatan Keretapi Guillemard, Gunung Stong dan juga Putra Valley Resort jika waktu mengizinkan. Memang benar jauh pemandangan luas pandangan, namun tidak semua mampu menikmati pemandangan itu. Tidak mampu samada dari segi masa, tenaga atau wang. Namun jika berkesempatan, kembaralah, telusurilah bumi Allah yang indah ini. Syukuri nikmat dan ambillah ibrah dari setiap perjalanan itu. Sekian…


Isu Semasa- Penyakit Mental


Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Menurut Portal Myhealth, kajian pemantauan penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1% daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menjangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi kedua tertinggi di dunia. Mutakhir ini, lambakan kes penyakit mental terpapar di berita mahupun surat khabar harian. Antaranya kes membunuh kerana penyakit meroyan, kes orang hilang disebabkan kemurungan, kes pembunuhan kerana tekanan melampau dan banyak lagi. Sedar tidak sedar semakin maju negara, mungkin juga akan semakin bertambahnya tekanan perasaan masyarakat.  

Menurut Portal Myhealth, penyebabnya tidak diketahui dengan tepat. Kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit ini. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental. Antaranya ialah faktor genetik atau keturunan, gangguan bahan kimia dalam otak, jangkitan virus, mempunyai sejarah hidup yang getir dan mungkin disebabkan keadaan sosio-ekonomi yang rendah.

Namun ramai masyarakat di luar sana seakan tidak memahami dan mengerti penyakit ini kerana ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya yang mengalaminya sahaja yang merasai kesakitannya. Pernah juga saya terdengar bahawa di luar sana menganggap bahawa penyakit mental ini adalah gila semata-mata. Bukan sebenarnya, penyakit kemurungan, kerisauan melampau, ketakutan melampau, dan apa-apa pemikiran yang mengganggu kehidupan normal seseorang itu sebenarnya salah satu penyakit mental. Penyakit yang tidak dapat disaksikan luaran. Malah golongan penyakit mental ini adakalanya pandai menyembunyikan penyakit yang dialaminya. Di luar, nampak kuat dan ceria selalu, namun dalam hati serta minda terbeban segala gundah gulana, menanggung segala keperitan sebatang kera tanpa pertolongan sesiapa. Mereka yang normal sepatutnya memahami dan tidak memandang remeh akan penyakit mental yang dialami oleh ahli keluarga atau rakan-rakan. Pelbagai stigma masyarakat dapat dikenalpasti apabila mendengar masalah penyakit mental ini. Antaranya ialah mereka menganggap bahawa golongan yang tidak bernasib baik ini hanyalah mengada-ngada dan mahukan perhatian. Mereka juga menganggap bahawa pesakit ini kurang mendekati Allah lalu menyebabkan mereka menjadi sebegitu. Lebih memeritkan ada yang mengatakan penyakit mental ini merupakan masalah kecil berbanding masalah mereka yang lebih sihat. Salah, ianya salah sama sekali, malah andaian mereka ini menjatuhkan moral dan menyebabkan semangat pesakit mental untuk pulih mulai pudar.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Tidak terkecuali dengan penyakit mental walaupun ianya merupakan penyakit dalaman. Selain ubat, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya. Peranan ahli keluarga dan rakan-rakan juga penting dalam menjadi luahan masalah bagi pesakit mental. Mereka penting untuk meningkatkan motivasi ataupun berkongsi cara yang terbaik bagi membolehkan pesakit mental menjalani kehidupan normal kembali dengan ceria tanpa masalah yang membelenggu fikiran mereka lagi.

Biah Solehah

Apakah maksud biah solehah? Biah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud suasana atau persekitaran, manakala solehah pula bermaksud baik.
Sebelum kaki ini menjejak di alam kampus, saya menerima pendidikan di sekolah menengah kebangsaan agama. Dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 6, bukan sahaja menerima pendidikan, malah tarbiah islamiah juga diterapkan di sekolah tersebut. 
Disebabkan rumah agak jauh dari sekolah ini lebih kurang satu jam dari rumah, saya memohon untuk tinggal di asrama. Pada mulanya agak janggal dan perit juga apabila saya terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga tetapi tidak lama selepas itu, perasaan itu hilang dan saya dapat menyesuaikan diri ditambah dengan kawan sekeliling yang banyak menyokong. Walaupun saya keseorangan memasuki sekolah pilihan ayah, namun syukur saya menemukan kawan baru yang baik-baik semuanya. Banyak kenangan berada di sekolah ini. Tidak dapat diceritakan semuanya, terlalu banyak, biarlah ia menjadi memori yang kekal di ingatan. Kerana semua kenangan itu menjadi saksi akan jatuh bangun saya sebagai seorang pelajar. Zaman nakal, zaman kegemilangan, zaman kegelapan,  semuanya dirasai oleh insan yang bergelar pelajar. Sudah tentu tidak dapat dinafikan, itulah yang dilalui di sekolah kita masing-masing dahulu.
Masjid Sofwatul Abrar sebagai kemudahan pelajar untuk solat berjemaah dan melakukan program lain seperti usrah.
Bagi saya, gembira bahkan bersyukur ditempatkan di pusat pembelajaran yang dikelilingi biah solehah. Jadual seharian di asrama menjadi bukti dan saksi akan biah solehah di situ. Semua program wajib diikuti. Rindu terdetik di hati mengenangkan suasana islamik di sekolah tersebut. Para pelajar selalu diingatkan supaya menjaga solat, akhlak, adab berpakaian, adab pergaulan dan lain-lain lagi. Pelajar juga masih lagi dapat bergantung kepada guru-guru jika mempunyai masalah berkaitan pelajaran. Amat diambil berat dan dijaga, bagai menatang minyak yang penuh oleh para pendidik di situ. 
Replika Kaabah semasa program amali tawaf di sekolah dahulu
Namun betul apa yang dikongsikan oleh salah bekas pelajar sekolah dahulu bahawa keadaan di alam universiti cukup bebas dan pelajar menjalani kehidupan seharian mengikut acuan pilihan masing-masing. Cukup berbeza berbanding di sekolah yang mana cukup sarat dengan disiplin. Di alam kampus, seseorang itu perlu berdikari tanpa pertolongan orang lain lebih-lebih lagi dalam pelajaran. Selain itu,  masing-masing bebas untuk membuat pilihan dan keputusan. Bergantung padanya sahaja tanpa paksaan. Tabiat hidup sehari-hari, tingkahlaku yang terzahir, gaya percakapan yang ditutur dan gaya hidup yang dipilih, semuanya atas tindakan diri sendiri tanpa ada kongkongan orang lain. Betul, semuanya bergantung atas kebijaksanaan individu untuk memilih dan menilai sesuatu perkara itu sama ada baik ataupun buruk.

Isu Remaja- Perlukah Couple?


Berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Namun, pepatah terakhir itu, tidak patut dipegang oleh mereka yang bergelar mahasiswa.  Ya, kerana target yang utama bukanlah untuk mencari hati sejoli tetapi ilmu yang membekali diri masa hadapan nanti.

 Fitrah manusia ingin menyayangi dan disayangi, ianya tidak salah, tetapi dahulukan prioriti dan dengarlah firasat hati, antara keperluan dan kehendak yang manakah patut diutamakan terlebih dahulu.


 Jika difikirkan sejenak, apa gunanya  mengharapkan yang tidak pasti, adakah ingin mengisi kekosongan di hati atau melayan kebosanan sehari-hari.



Harapan ayahanda ibunda inginkan kejayaan dalam pelajaran dan ianya satu amanah dan tanggungjawab. 

Beban yang dipikul bukanlah untuk perhiasan, bukanlah alat untuk bermegah, bukanlah ukuran kepandaian,

Yang penting keyakinan terhadap Allah, maka keikhlasan dalam menuntut ilmu itu akan datang sendiri. Kelak ia bukan lagi dipanggil beban namun hadiah dari liku jalanan ditetapkan Ilahi.

Berkat daripada kalimah azimat dari guruku dahulu, aku berjaya menepis setiap kali bisikan melalaikan kedengaran.

Melalaikan kerana kutahu akan makna ikhtilat dan bentuk zina itu sendiri. Zina hati dan zina mata dek kerana nafsu nafsi.

Kita juga tidak tahu keberangkatan suratan dan perkhabaran dari Allah Yang Maha Esa, manakah menjemput dahulu,antara jodoh dan ajal.


 Oleh itu, marilah kita sama-sama merenung dan bermuhasabah diri agar selalu mengingati apa tujuan kita di atas muka bumi. Tidak lain dan tidak bukan menjadi khalifah yang sudah termaktub dalam percaturan Ilahi sejak azali.

Ada Hikmahnya

Ada juga terdetik dalam hati, ikhlaskah kubelajar sehingga kini
Kucuba turuti kehendak hati ayah

Kucuba ingati pesan dari mak
Mereka ingin aku berjaya
Berjaya mengggenggam segulung ijazah
Jujur kukatakan semakin musim, semakin sukar perjalanan di sini
Menuntut ilmu memerlukan keikhlasan
Menuntut ilmu memerlukan kesungguhan
Menuntut ilmu memerlukan pengorbanan
Menuntut ilmu mengajar erti kesabaran
Kesabaran yang kadangkala tidak tertahan
Namun kutahu natijahnya membuatku tersenyum di masa hadapan 
Akhirnya hatiku ikhlas dan redha, mungkin inilah suratan
Perjalanan hidup sudah Allah aturkan
Mengikut kesesuaian dan kemampuan
Untuk hambaNya yang tersayang

Swafoto, Salahkah?

Istilah swafoto mungkin jarang dikenali dan lebih dikenali dengan istilah Bahasa inggeris iaitu selfie.

Berswafoto tidaklah salah, malah menjadi bukti memori detik yang diharungi
Namun dielakkan memuat naiknya di media setiap masa sehari-hari
Kelak lokasi diri menjadi target para penjenayah bersiri
Berswafoto dengan sahabat handai tidaklah salah selagi tidak menghina mereka yang lain
Kerana kecantikan bukan diukur pada muka paras semata-mata sebaliknya kecantikan hati nurani yang membersihkan jiwa
Berswafoto dengan pemandangan alam tidaklah salah jika ianya tidak memudaratkan diri.


Kerana ingin mempamerkan keindahan alam, yang terkini, yang tercantik malah mengharapkan berjuta-juta butang suka, sehingga mencari kawasan berisiko dan berbahaya
Kelak nyawa tergadai, di saat itu tidak dapat berbuat-apa, hanya kedengaran tangisan hiba, penyesalan memukul jiwa
Berswafoto dengan hidangan tidaklah salah jika hanya untuk tatapan keluarga dan simpanan peribadi.
Kerana jika disebarkan kelak ada yang terguris hati mengenangkan nasib diri tidak merasai nikmat yang dikecapi

Oleh itu, ingatlah tidak semua insan mampu memiliki, semua insan hidup dalam lingkungan zon tersendiri,
Berswafoto tidaklah salah asalkan ianya kena pada situasi dan juga atas niat dalam diri. 
Malah kajian menunjukkan mereka yang sering berswafoto mempunyai keyakinan yang tinggi malah lebih ceria berbanding mereka yang kurang berswafoto. Namun apa yang penting, senyumlah selalu kepada sesiapapun, malah walau di mana-mana dan bukanlah disebabkan sekeping swafoto semata-mata.

Idola


   Dalam kehidupan manusia, tentunya akan ada tokoh yang menjadi idola. Tokoh idola iaitu tokoh yang disenangi dibanggakan ataupun dikagumi.  Biasanya tokoh idola ini memilki kelebihan-kelebihan sehingga menjadi teladan yang ingin kita contoh atau tiru. Memandangkan nama yang diberikan oleh mak dan ayah ialah Aishah, maka idola diri ini juga tidak lain dan tidak bukan iaitu, Saidatina Aisyah R.A isteri Rasulullah S.A.W.

   Saidatina Aisyah merupakan salah seorang perawi hadis yang mana membuktikan bahawa beliau bukanlah calang-calang Muslimah. Aisyah termasuk wanita yang banyak menghafal hadis-hadis Nabi SAW, sehingga para ahli hadis menempatkan dia pada urutan kelima dari para penghafal hadis setelah Abu Hurairah, Ibnu Umar, Anas bin Malik dan Ibnu Abbas. Selain itu, beliau mempunyai kecerdasan akal yang tinggi. Dalam salah satu riwayat dari Abu Musa, dia berkata, “setiap kali kami menemukan masalah dengan hadis yang diriwayatkan oleh seorang sahabat, kami pasti mendapatkan jawapannya dari Aisyah.”

    Kehidupan Saidatina Aisyah penuh dengan kemuliaan, kezuhudan, ketawadhuan, pengabdian sepenuhnya kepada Rasulullah SAW dan selalu beribadah serta sentiasa melaksanakan solat malam. Selain itu, Aisyah banyak mengeluarkan sedekah sehingga di dalam rumahnya tidak ditemukan wang satu dirham atau satu dinar sekalipun. Muslimah pada zaman dahulu amatlah terjaga akhlaknya, tinggi akidahnya, luhur budinya. Inikan pula anakanda sahabat Rasulullah yang tercinta iaitu Saidina Abu Bakar As Siddiq. Sudah semestinya srikandi Islam tersebut terdidik dengan akidah dan akhlak yang teguh dan kukuh pada zaman permulaan Islam dahulu. Sifat, akhlak dan iman yang tinggi beliau wajar diteladani. Memang tidak disangkal lagi, tokoh Islam ini layak diangkat menjadi salah satu idola dan ikon remaja Muslimah kini.

Saturday, 20 April 2019

Memilih

Ku melihat di mana-mana, antaranya di pusat membeli belah, mereka bekerja dari pagi.
Biarpun hanya tugas sebagai pelayan, pencuci  nampak mudah dan remeh, perlu juga disiplin diri.
Ada juga yang selesai kerja syif pagi lalu beralih pula kerja sampingan di malam hari.
Kagumku dengan wanita yang sudah berusia itu, sanggup ambil dua kerja dalam satu hari dan aku salah seorang saksi.
Namun kutahu mereka tidak peduli. Mereka tidak memilih demi sesuap nasi.
Ku hairan juga kerja memang berlambak sana sini.
Masih ada di luar sana penganggur sejati.
Masih ada juga mereka yang tercari-cari.
Adakah mereka memilih pekerjaan yang hanya disukai?
Kekosongan kerja yang ada senang-senang ditolak tepi dan sungguh aku tidak mengerti.
Sepatutnya mereka ada kesedaran dalam diri dan lihatlah mereka yang berhijrah ke sini demi mencari rezeki. 
Mereka sanggup bertungkus lumus walau gajinya tidak tinggi.
Ayuh bangkitlah anak muda, bangkitlah sesiapa sahaja yang bergelar penganggur setia.
Ubah mentaliti, elakkan dari memilih kerja yang selesa sahaja. Carilah rezeki di mana-mana.
Jangan hidangkan alasan yang sudah lama dicipta.  Pepatah ada berkata, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Ambillah pengajaran dari warga asing yang bersungguh-sungguh bekerja tanpa lelah dan letih.



Tulisan Jawi

Sungguh cantik tulisan yang diguna orang Melayu 
Ianya ditulis dan dicatit di mana-mana pada zaman dahulu Dek kerana datangnya Islam di Melaka lalu menjadi titik tolak bermulanya tulisan mereka
Tulisan yang melambangkan tamadun sebuah bangsa Namun dalam era modenisasi, ku dapati tulisan jawi seakan-akan dianaktiri 
Hampir pupus tidak dijaga oleh bangsanya sendiri
Kenapa dikatakan begitu
Jika diminta untuk membaca atau menulis dengan tulisan itu,pasti ada yang hanya menggeleng kepala tidak tahu
Sedih jika perkara ini dibiar begitu sahaja
Sains dan teknologi moden kini sudah cukup untuk mengembalikan martabat tulisan jawi kita
Tulisan yang melambangkan tamadun Melayu yang disegani pada suatu masa.
Ayuh sama-sama kita usahakannya, saudara saudari
Salah satu usaha dan tanda cinta akan tamadun sendiri.




Thursday, 21 February 2019

Kuliah Pertama Kursus Penglahiran Bakat Kreatif


Pada hari pertama kuliah pelahiran bakat kreatif, kaki saya berat, hati saya berdebar-debar, menantikan kelibat pensyarah Dr Kamariah Kamarudin yang bakal memberikan tunjuk ajar dan ilmu yang berguna pada pelajar-pelajarnya. Gementar bukan bermakna takut, namun dek kerana mengagumi ketokohan Dr Kamariah. Umpama langit dan bumi dibandingkan diri saya yang kerdil ini. Beliau yang menerajui kumpulan dua sememangnya dapat dijangkakan bakal terisi dengan hamburan-hamburan tips berharga serta nasihat-nasihat berguna. Sesuai bagi saya dan pelajar-pelajar lain yang baru mengenal dunia penulisan kreatif ini.

Persoalan yang diajukan pada hari pertama kuliah oleh beliau berkaitan sasterawan negara dan dewan bahasa dan pustaka membuka mata saya betapa kurangnya pendedahan dan pengetahuan saya dalam bidang sastera melayu. Justeru, saya berbisik pada hati bahawa saya perlu tingkatkan lagi pembacaan dan rujukan tentang apa-apa melibatkan medan yang menggayakan bahasa kebangsaan termasuk puisi-puisi moden. Terbit juga rasa minat dalam hati setelah meneladani kisah Dr Kamariah yang berusaha gigih dan bertatih dari bawah sehingga menjadi penulis kreatif. Namun, terdetik satu dua persoalan dalam kotak fikiran dan saya bertanya di dalam hati. Adakah bakat kreatif itu ada pada diri aku? Adakah tugasan yang akan diberikan terlalu sukar? Dapatkah aku lulus dengan jayanya kursus wajib ini?Ya, semua persoalan terus terjawab seakan beliau mengerti akan keresahan semua pelajarnya.
Tidak mustahil bagi orang yang rajin. Perkataan RAJIN sememangnya ditekankan oleh beliau." Untuk skor dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam kursus ini tidaklah sesukar yang anda semua jangkakan tetapi dengan satu syarat, anda perlu rajin". Kata-kata positif oleh beliau masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiran saya sehingga sekarang. Saya harap saya dapat meminjam serba sedikit semangat daripada Dr Kamariah yang mempunyai semangat juang yang tinggi demi bidang yang diminati dan diceburi oleh beliau.
Apa yang saya dapat selepas mengikuti kelas pelahiran bakat kreatif ialah sesuatu yang sangat mahal. Bayangkan betapa ramai orang di luar sana yang tidak berkesempatan untuk menyertai bengkel penulisan kreatif setiap kali dianjurkan dek kerana kekangan wang, masa atau tenaga. Oleh demikian, kursus pelahiran bakat kreatif yang diwajibkan bagi pelajar bahasa dan warganegara Malaysia di UPM ini hendaklah ditelaah dengan baik. Hal ini tidak lain dan tidak bukan demi melahirkan seorang mahasiswa yang menerapkan dan menggayakan bahasa Melayu dengan indah sehingga dapat menjulang kembali bahasa Melayu di persada dunia.  
Betul kata-kata Dr Kamariah, negara mutakhir ini ketandusan penulis-penulis kreatif. Sudah hilangkah pejuang-pejuang bahasa kebangsaan? Dan tidak berbanggakah kita akan bahasa pertiwi bahasa negara kelahiran kita? Sama-sama kita renungkan. Bagi saya yang masih memegang status mahasiswa, berbekalkan pengetahuan dan ilmu yang akan saya pelajari berkaitan penulisan kreatif, saya harap dapat menyambung legasi penulis penulis tersohor seperti Dr Kamariah sendiri dan biarpun hasrat itu tidak dapat dicapai sekurang-kurangnya pabila mengejar target yang tinggi, jatuhnya sedikit, tidak terasa sakitnya itu. Bahawasanya gantunglah cita-citamu setinggi-tinggi langit dan mimpikan setinggi-tinggi langit kerana jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang. Suka saya petik kata-kata bijak dari Soekarno, Presiden Pertama Indonesia itu.  
Akhir kalam, saya harap dapat mengaut segala ilmu yang dicurahkan oleh pensyarah cemerlang. Tujuannya bukanlah hanya untuk medan di dalam dewan peperiksaan sahaja namun mengamalkannya dalam kehidupan seharian bak kata pepatah ilmu tanpa amal umpama pokok yang tak berbuah, untuk apa kita lelah belajar jika ianya berlalu kosong disia-siakan.



Ulasan Cerpen 1- Paya Purnama

Cerpen paya purnama yang telah saya baca menghidangkan kisah-kisah dari lubang ingatan penulis. Penulis cerpen ini iaitu S.M. Zakir meng...